KUALA LUMPUR : Mencipta populariti menerusi lagu Sk8er Boi, penyanyi Avril Lavigne, 36, tidak menyangka pelawaan bersahajanya agar Tony Hawk terbabit sama dalam video TikTok pertamanya mendapat persetujuan daripada legenda papan luncur itu.
Menurut Avril, dengan satu pesanan ringkas yang dihantar menerusi Instagram, Tony menjawab pelawaan tersebut yang disifatkan oleh Avril sebagai sesuatu yang sukar dipercayai.
“Saya tak pernah mesej seseorang apa lagi ikon seperti Tony menerusi Instagram. Itu adalah kali pertama dalam hidup saya. Saya bertanya,sekiranya dia berminat nak muncul dalam video Tik Tok pertama dan memintanya datang ke kediaman.
“Di rumah saya memang ada sebuah ruang mini untuk aktiviti papan luncur. Bila lihat Tony muncul dengan papan luncurnya di depan pagar rumah, hampir saja saya rasa nak cubit pipi sebab tak percaya,” katanya.
Avril berkata demikian dalam satu sesi temu bual di radio antarabangsa, Audacy yang turut dihadiri bersama teman lelakinya, pemuzik, Mod Sun baru-baru ini.
Terdahulu, Avril menerima banyak respons positif menerusi video pertamanya dalam Tik Tok yang dimuat naik pada 22 Jun 2021 dengan jumlah tontonan terkini sebanyak 6 juta.
Selain itu, Avril turut berkongsi mengenai zaman kegemilangan album Sk8er Boi dan mengaku ketika itu darah mudanya begitu obses dengan sukan ekstrem tersebut.
“Ketika itu saya juga baru sahaja tamat alam persekolahan dan sangat tertarik dengan mana-mana lelaki yang memakai kasut dengan gaya pemain papan luncur.
“Bila saya dengan Mod mula bercinta, dia sempat berseloroh ‘Jadi awak tahu sekarang saya pun budak ‘skate’? Tapi saya harus akui, dia memang pandai bermain papan luncur,”katanya.
Menurut laporan media antarabangsa, Avril mula menjalin hubungan cinta dengan Mod sekitar Februari lalu selepas sama-sama terlibat dalam pembikinan lagu berjudul Flames.