KOTA TINGGI: Seorang warga emas cedera di bahagian kepala selepas terjatuh ke dalam longkang sedalam tiga meter ketika memanjat sebatang pokok di hadapan rumahnya di Jalan Kundang, Taman Kota Jaya, pagi tadi.
Komander Operasi Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Pegawai Bomba Kanan II Mohd. Rafi Mohd. Nor berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada pukul 10.21 pagi sebelum ke lokasi bersama 12 orang anggota.
Kata beliau, setibanya pasukan keluaran operasi di tempat kejadian, didapati terdapat seorang lelaki jatuh longkang berkedalaman tiga meter dan mengalami kecederaan pada bahagian kepala.
“Dalam kejadian tersebut, mangsa, Lim Ah Kow, 73, dipercayai sedang memanjat sebatang pokok di kebun hadapan rumahnya dengan menggunakan tangga.
“Namun secara tiba-tiba mangsa telah terjatuh ke dalam longkang tersebut,” katanya di sini hari ini.
Tambah Mohd. Rafi, operasi menyelamat dilakukan dengan menggunakan tali serta pengusung untuk membawa naik mangsa daripada longkang berkenaan.
Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak ambulans untuk dihantar ke Hospital Kota Tinggi bagi mendapatkan rawatan lanjut sebelum operasi ditamatkan pada pukul 10.42 pagi. – UTUSAN ONLINE