KUALA LUMPUR: Berulang kali dilihat memegang dan mengusap perut dalam sesi live di Instagram hari ini, rata-rata peminat mula meramal malah ada yang terus mengucapkan tahniah jika benar Neelofa kini sedang hamil.
Menerusi sesi live tersebut, pengacara dan pelakon wanita itu dilihat memegang dan mengusap perutnya berulang kali malah ada ketika, duduk kerana didakwa keletihan berdiri.
Neelofa yang sedang mempromosikan telekung keluaran baharu jenama Naelofar bagaimanapun tidak membalas sebarang pertanyaan dan terus bercakap mengenai jualan besar-besaran sempena Hari Raya Aidiladha akan datang.
Dalam pada ruangan komen dibanjiri dengan ucapan tahniah itu, terdapat juga segelintir peminat yang mahu penonton lain menghormati Neelofa serta memberi ruang untuk pengacara popular tersebut mengumumkan jika benar dakwaan itu.
Sebelum ini kecoh media sosial apabila sekeping gambar seolah-olah menunjukkan ‘baby bump’ usahawan itu tular di media sosial.
Setakat ini, baik Neelofa atau suaminya, Haris Ismail hanya berdiam berhubung spekulasi tersebut.