Artis, PPV dan vaksin: Murni hati atau ada agenda? - Utusan Malaysia

Artis, PPV dan vaksin: Murni hati atau ada agenda?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APABILA program sukarelawan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) diperkenalkan dan dibuka kepada semua pihak, ia tidak hanya mendapat sambutan di kalangan orang awam.

Pujian juga wajar diberikan kepada golongan artis yang cakna dengan usaha untuk berganding bahu membanteras penularan wabak Covid-19 dengan penyertaan segelintir mereka menerusi program ini.

Sekali gus, ia memperlihatkan bahawa mereka juga menyimpan harapan besar untuk sama-sama melihat Malaysia bebas daripada pengalaman pandemik ini yang telah membawa khabar duka sejak Mac tahun lalu.

Namun, di sebalik murninya hasrat mereka itu, ada juga yang mengandaikan penglibatan artis seolah-olah turut menyimpan agenda dan menjadikannya sebagai satu tiket untuk segera mendapat vaksin. Persoalannya, benarkah begitu?

Tak cuma itu, jika bercakap mengenai vaksin, secara terbuka atau tidak, ada juga kalangan mereka yang turut membawa agenda anti-vaksin yang dikhuatiri mampu membuatkan orang ramai mudah terpengaruh dengan perkongsian seperti itu.

Lalu apa pula kata selebriti dan artis? Ikuti pandangan beberapa artis berikut menerusi perkongsian Pancaindera kali ini.

Riena Diana: Manusia ini pelbagai ragam kan?

Pelakon yang popular dengan watak Laila dalam drama Kampung People ini pula melahirkan rasa bangga dengan segelintir rakan-rakannya yang terlibat sebagai sukarelawan untuk program PPV.

Tambahan pula, ia dilihat dapat membantu menggalakkan lebih ramai orang untuk sama-sama mendapatkan vaksin selain menyedarkan mereka tentang kepentingan untuk bervaksinasi.

“Tak adalah semua selindung di sebalik media sosial saja. Kali ini, baru orang nampak yang artis juga mampu memberi sumbangan sedikit sebanyak dan saya rasa mereka gunakan platform sebagai selebriti atau pempengaruh dengan baik.

“Tentang tiket segera dapatkan vaksin itu pula, saya rasa jika mereka sebagai sukarelawan dapat awal pun, apa salahnya? Lihatlah dari sudut positif, semua negatif sahaja tak bolehlah begitu,”katanya.

Dalam pada itu, penyampai radio Hot FM ini juga mempunyai pandangan tersendiri buat segelintir artis yang anti-vaksin.

“Manusia ini bermacam ragamnya. Jadi untuk kita nak ubah seseorang itu mustahil. Itulah pentingnya membaca sebelum kita suarakan pendapat.

“Jika ia baik untuk pulihkan negara, apa salah bantu? Cuma kadangkala mungkin kita perlu simpan untuk diri sendiri jika rasa diri itu anti-vaksin.

“Tak nak ambil vaksin, duduk diam-diam. Jangan hasut orang lain pula,” katanya.

Sebar kesedaran, bukan menunjuk – Fizo Omar

Menolak tanggapan negatif dan menegaskan langkah menyertai pasukan sukarelawan adalah atas niat murni, pelakon, Fizo Omar tidak mahu mengambil serius kecaman dan kata-kata sindiran warganet.

“Saya sertai sukarelawan vaksin ini sudah banyak kali. Bukan semua saya muat naik di Instagram pun. Cuma niat saya adalah untuk menyebarkan manfaat dan menidakkan tanggapan negatif terhadap vaksin.

“Apa guna kalau ada pengikut berjuta-juta orang dalam media sosial tetapi tidak menggunakannya untuk kebaikan. Saya membantu untuk masyarakat tahu, ramai yang mengambil vaksin dan dakyah tidak benar itu semuanya fitnah,” katanya.

Bercerita tentang pengalaman di PPV, Fizo mendedahkan ramai yang teruja apabila melihatnya dan ada yang berasa lebih tenang untuk mengambil vaksin kerana takut jarum.

“Memang ramai yang tegur dan senyum dari jauh. Ada juga yang beritahu, mereka rasa lega dan mudah ambil vaksin bila tengok saya sendiri jadi sukarelawan di situ. Sekurang-kurangnya, saya bantu mereka dari segi mental.

“Saya juga selalu buat siaran langsung di Instagram untuk berkongsi pengalaman mereka yang selesai mengambil vaksin. Bila orang tengok, mungkin kurang sedikit rasa gementar dan takut untuk mengambil vaksin,” katanya.

Apa kata kita positif sahaja – Ramona Zam Zam

Bagi pelakon drama Love Elsa ini, negativiti bukanlah satu pilihan pada waktu ini kerana sekiranya ada sebarang tindakan yang mendatangkan manfaat dari sudut kesihatan, ia seharusnya dilihat wajar.

Kata Ramona, mungkin ada segelintir artis atau selebriti yang punya agenda sendiri menerusi tindakan menyertai pasukan sukarelawan, tetapi diharapkan tidaklah cenderung kepada kepentingan diri sendiri.

“Saya tak pandai menghukum orang bahkan sikap suka menyibuk hal orang lain juga bukanlah diri saya. Ia berbalik kepada niat seseorang itu dan tujuan asal mereka menyertai program sedemikian.

“Kalau baik niatnya, maka saya anggap baik sahajalah. Kita nilai dari sudut positif sahaja. Sebab sebagai artis, kita tahu golongan ini mempunyai pengaruh besar kepada masyarakat dan pengikut.

“Saya benar-benar berharap agar setiap daripada kita menggunakan kedudukan ini untuk menyebarkan perkara-perkara kebaikan. Mana tahu lebih ramai yang akan buka mata dan sertai program yang sama,”katanya.

Selain itu, kata Ramona, dia juga tidak mahu mudah menghukum mana-mana artis yang mungkin menyokong golongan anti-vaksin memandangkan masing-masing ada hak dan akal yang waras untuk berfikir.

“Satu dunia sedang berusaha memulihkan pandemik dengan amalan vaksinasi. Jika ada antara artis yang tak percaya pada vaksin, itu terpulanglah kerana ramai lagi orang yang mahu hidup sihat dan selamat,”katanya.

Asmidar tak ambil pusing

Sementara ramai dalam kalangan artis terlibat sebagai sukarelawan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) atau di Pusat Kuarantin, penyanyi bersuara lunak, Asmidar Ahmad, 35, pula sibuk dalam dalam pembuatan peralatan perlindungan diri (PPE) di sebuah kedai Taman Keramat sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 1.0).

Kata Asmidar, dia berasa tidak senang apabila duduk di rumah tanpa berbuat apa-apa sementelah melihat ketekunan dan kecekalan barisan hadapan bertugas siang malam.

“Bercakap pasal penglibatan rakan-rakan artis sebagai sukarelawan di PPV atau di Pusat Kuarantin, Alhamdulillah suka tengok dan berharap lebih ramai lagi yang menyertai.

“Untuk makluman, saya sebenarnya terlibat dalam penghasilan PPE sejak awal PKP lagi. Tapi tak pernah sekali pun nak berkongsi dalam media sosial. Cukup setakat simpanan peribadi.

“Sekarang ini saya lebih menyebarkan kata-kata semangat dan motivasi kepada mereka yang mengalami gangguan masalah kesihatan seperti depresi atau tertekan menerusi media sosial saja,” ujarnya.

Menyentuh soal kritikan netizen yang segelintir daripada mereka beranggapan pembabitan artis sebagai sukarelawan hanya untuk mendapatkan vaksin awal, Asmidar tidak ambil pusing.

“Bagi saya netizen hanya menjalankan tanggungjawab untuk sentiasa memberikan pendapat mereka sama ada baik atau pun sebaliknya.

“Kita tetap dengan niat untuk membantu. Usah peduli dan tergugat dengan kata-kata negatif orang,” akhirinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya