KUALA LUMPUR: Pelakon, Iedil Putra dan Nora Danish antara bintang selebriti yang terlibat dalam kempen Apa Khabar Anak Seni di Instagram sejak pukul 9 malam, semalam.
Kempen berilustrasi genggam tangan berlatarkan warna kuning itu, diadakan bertujuan untuk orang ramai dan penggiat seni bertanya khabar dengan semua pekerja industri kreatif dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) fasa 2 dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) ini.
Umum sedia maklum ketika ini industri seni hiburan tempatan antara sektor kritikal sejak PPN fasa 2 dan PKPD dilaksanakan kerana sebarang bentuk penggambaran adalah dilarang.
“Sudah lebih setahun kita melalui pandemik yang rasanya bagai tiada penghujung. Dan semua merasakan dampaknya. Banyak perkara tergendala, banyak impian menemukan jalan buntu.
“Jujur aku rindu dengan proses berkarya dan berkumpul dengan teman-teman seperti sebelum pandemik; di ruang latihan, lokasi penggambaran, pementasan teater dan muzik, lepak mamak sampai lebam. Rindukan tawa dan senyuman.
“Semua apa khabar? Aku okay tapi perkara ini akan baik-baik saja. Kalau ada apa-apa, berhubunglah okay? Kita sama-sama di sini. Untuk sekarang, kuatkan semangat. Kita ada ini, kita jaga kita,” coret Iedil.
Bagi Nora pula hanya secara ringkas pada kapsyennya, “Kita sekeluarga akan bertahan,” tulisnya.
Selain dua bintang ternama itu, barisan pelakon lain seperti Nad Zainal, Tiz Zaqyah, Zahiril Adzim, Bront Palarae, Syafie Naswip dan ramai lagi penggiat seni seperti pengarah, produser dan kru belakang tabir turut serta dalam kempen tersebut.