Anggota penguat kuasa didakwa zalimi anjir liar - Utusan Malaysia

Anggota penguat kuasa didakwa zalimi anjir liar

TANGKAP layar video memaparkan beberapa anggota penguat kuasa yang didakwa menzalimi anjing liar di sebuah kawasan perumahan di Kulim, Kedah. - MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) kesal dengan tindakan beberapa anggota penguat kuasa yang didakwa menzalimi anjing liar di sebuah kawasan perumahan di sini, semalam.

Beberapa video yang tular di Facebook memaparkan penguat kuasa tersebut menangkap seekor anjing dan dilihat menyuntik sesuatu pada badan haiwan itu.

Haiwan tersebut kemudian dimasukkan ke dalam plastik hitam.

Presiden SAFM,  R. Kalaivanan berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang awam mengenai operasi menangkap anjing liar dan video berhubung perkara itu.

Katanya, kejadian dipercayai berlaku di sebuah kawasan perumahan kira-kira pukul 4.30 petang.

“Kami berasa kesal kerana tiada sebarang makluman atau perbincangan antara pihak pertubuhan bukan kerajaan  (NGO) dan  majlis perbandaran itu sebelum ini. 

“Persoalannya, apakah tindakan seperti ini dibenarkan dan pembunuhan haiwan terbiar bukanlah jalan terakhir untuk menyelesaikan masalah,” dakwanya menerusi satu kenyataan di Facebook rasminya hari ini.

Katanya lagi, ada banyak lagi tindakan yang boleh dilakukan oleh pihak tersebut untuk menyelesaikan masalah haiwan terbiar.

“Mengikut Akta Kebajikan Haiwan 2015 pelupusan dibenarkan dilakukan dengan kawalan dan seliaan veterinar bertauliah di lapangan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kulim, Yeoh Ken Chuan berkata, pelbagai cara boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah anjing liar.

Katanya, antaranya adalah menghantar ke pusat penjagaan haiwan terbiar dan melakukan pemandulan terhadap haiwan berkenaan agar pembiakan terkawal.

“Di samping itu, haiwan terbiar itu boleh dijadikan haiwan angkat untuk diserahkan kepada mana-mana pihak yang ingin menjadikan sebagai haiwan peliharaan seperti pemilik dusun atau kebun,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN