ALOR SETAR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah kesal dan kecewa dengan kenyataan Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor bahawa kerajaan negeri tidak mengiktiraf penggunaan bendera putih sebagai tanda memerlukan bantuan makanan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Ketuanya, Mohammed Firdaus Johari berkata, kempen bendera putih itu adalah inisiatif yang digerakkan oleh rakyat sebagai tanda solidariti serta keprihatinan tinggi terhadap mereka yang terkesan ketika ini.
“Kempen ini juga bertujuan membantu lebih ramai rakyat yang dalam kesusahan dan tertekan. Kempen bendera putih merupakan misi kemanusiaan rakyat Malaysia.
“Paling mengecewakan adalah Menteri Besar menganggap penggunaan bendera putih ini merupakan salah satu propaganda politik untuk membina persepsi kerajaan gagal dalam kalangan masyarakat dan beliau menyatakan kerajaan sedang berjaya menangani pandemik Covid-19 ini dengan baik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Muhammad Sanusi memberitahu, kerajaan negeri tidak mengiktiraf penggunaan bendera putih oleh individu di negeri ini sebagai tanda memerlukan bantuan makanan sepanjang tempoh PKP ini.
Sebaliknya, beliau berkata, pihaknya hanya menyalurkan bantuan makanan kepada individu yang membuat aduan secara rasmi melalui panggilan telefon di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) seluruh daerah di negeri ini.
Mohammed Firdaud berkata, Menteri Besar harus turun ke bawah dan melihat sendiri keadaan kehidupan rakyat negeri yang susah dan tertekan sejak pelaksanaan PKP.
“Menteri Besar menyatakan sekarang ini kita ada kemudahan aplikasi media sosial seperti Facebook dan WhatsApp serta pesanan mesej. Individu yang perlu bantuan boleh menghubungi PKOB untuk bantuan makanan tanpa mengibar bendera putih.
“Mereka yang mengibar bendera putih ini bukan sahaja terputus bekalan makanan, malah duit untuk membeli tambah nilai kredit telefon juga tiada,” katanya.
Beliau menambah, pihaknya mengusulkan supaya kerajaan negeri dapat menyalurkan bantuan khas kepada rakyat yang terkesan kerana pandemik Covid-19 ini dengan mengurangkan kerenah birokrasi dalam memohon bantuan daripada PKOB.