AMK anggap derhaka titah Agong, seluruh Kabinet PN digesa letak jawatan - Utusan Malaysia

AMK anggap derhaka titah Agong, seluruh Kabinet PN digesa letak jawatan

YUSLAINI AZMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kabinet Kerajaan Perikatan Nasional (PN) digesa meletakkan jawatan serta-merta susulan rasa dukacita Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan pengumuman pembatalan darurat di Parlimen.

Ketua Wanita Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri, Yuslaini Azmi berkata, Kabinet diterajui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa dengan sengaja memanipulasi institusi diraja dan Parlimen demi kepentingan masing-masing.

Katanya, perbuatan Kerajaan PN melanggar titah Seri Paduka sama sekali tidak boleh diterima, malah bukan kali pertama dilakukan kepemimpinan berkenaan.

“Keadaan ini merencatkan sistem demokrasi negara sedangkan kita memerlukan pemimpin yang bertanggungjawab dalam mentadbir Malaysia dan bukannya kalangan yang menipu serta mengabaikan penderitaan rakyat.

“AMK Terengganu berpendapat tindakan membelakangkan Seri Paduka adalah satu pencabulan terhadap Perlembagaan Persekutuan dan perkara ini tidak pernah terjadi dalam sejarah negara,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Yang di-Pertuan Agong hari ini menzahirkan rasa dukacita dengan pembatalan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, pembatalan semua ordinan berkenaan belum mendapat perkenan Seri Paduka.

Dalam pada itu, Yuslaini menegaskan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hasan untuk tidak menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi menyambung Proklamasi Darurat sebaik sahaja tamat pada 1 Ogos ini sangat bercanggah dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya