'Ambulans lambat datang', lelaki 'gelang pink' ditahan di SJR - Utusan Malaysia

‘Ambulans lambat datang’, lelaki ‘gelang pink’ ditahan di SJR

ADZLI Abu Shah bertanyakan sesuatu kepada seorang pemandu yang dipakaikan gelang pink kerana dipercayai positif Covid-19 di SJR Plaza Tol Sungai Petani Utara di Sungai Petani. - UTUSAN/ABD. RAZAK OSMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seorang lelaki berusia 38 tahun yang dipakaikan gelang merah jambu kerana dipercayai positif Covid-19 ditahan kerana memandu kereta di sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Sungai Petani Utara di sini malam semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, lelaki terbabit dari Taman Kempas di sini memandu kereta tersebut untuk ke hospital selepas mendakwa penat dan sakit dada sebelum ditahan di SJR itu pada pukul 10.30 malam.

Menurutnya, lelaki itu mendakwa dia terpaksa memandu kereta Perodua Kancil itu selepas mendapati ambulans lambat datang mengambilnya di rumah untuk dihantar ke hospital.

“Ketika ditahan lelaki tersebut berada dalam keadaan penat dan sakit dada.

“Lelaki itu yang tinggal seorang diri di Taman Kempas memandu kereta tersebut untuk mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melakukan pemantauan di SJR Plaza Tol Sungai Petani Utara di sini malam semalam.

Adzli memberitahu, beliau kemudian mengarahkan anggota polis yang bertugas di SJR itu supaya mengiringi kereta tersebut sehingga ke HSAH.

“Lelaki terbabit yang dipakaikan gelang pink kerana dipercayai positif Covid-19 sepatutnya menjalani kuarantin di rumah sejak tiga atau empat hari lalu,” katanya.

Selain itu, Adzli berkata, sebanyak 54 buah kenderaan yang cuba merentas daerah dan negeri tanpa kebenaran polis telah diarahkan berpatah balik sejak 11 hingga 18 Julai lalu.

Menurutnya, seramai 16 individu dikenakan kompaun dan enam individu lagi ditahan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya