Ahmad Zahid miliki angka cukup jatuhkan Muhyiddin, kata Mahfuz - Utusan Malaysia

Ahmad Zahid miliki angka cukup jatuhkan Muhyiddin, kata Mahfuz

MAHFUZ OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi diyakini memiliki angka yang cukup bersamanya untuk menjatuhkan kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, walaupun ada ahli Parlimen daripada parti itu dilihat cenderung meneruskan sokongan kepada kerajaan sedia ada.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, beliau percaya keberanian Ahmad Zahid mengumumkan perkara besar itu disebabkan mampu membuktikan kata-katanya.

Jika tidak, katanya, tidak hanya reputasi Ahmad Zahid selaku ahli politik senior, malah UMNO juga akan kian hancur memandangkan pengumuman dibuat presiden parti itu, tidak disambut oleh majoriti ahli-ahli Parlimennya sendiri.

“Bersandarkan kes terdahulu, kita bolehlah anggap kerajaan pimpinan Muhyiddin ini sudah tumbang. Jika sebelum ini Kerajaan Perikatan Nasional (PN) terbentuk kerana sokongan UMNO, sudah tentu kerajaan sama juga akan jatuh apabila UMNO menarik kembali sokongannya.

“Namun Muhyiddin masih berpeluang membuktikan yang beliau memiliki sokongan antaranya melalui usul undi percaya daripada PN. Namun dari segi teknikal dan moralnya, beliau telah hilang kelayakan menjadi Perdana Menteri dan tidak lagi boleh sewenang-wenangnya membuat keputusan dalam pentadbiran negara,” katanya kepada Utusan Online di sini, hari ini.

Pada awal pagi hari ini, Ahmad Zahid mengumumkan UMNO menarik balik  sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan serta merta selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO malam semalam.  

Menurut bekas Timbalan Perdana Menteri itu, keputusan tersebut dibuat berpandukan kepada tujuh kegagalan kerajaan PN selama ini dan beliau menuntut Muhyiddin berundur secara terhormat bagi membolehkan seorang Perdana Menteri baharu dilantik bagi tempoh terhad.  

Mengulas lanjut Mahfuz berkata, ketika ini semua pihak harus sedar bahawa tiada satu parti atau gabungan yang memiliki majoriti bagi membentuk kerajaan.

“Namun Pakatan Harapan (PH) memiliki Ahli Parlimen teramai iaitu 89 orang. Oleh itu, PH wajar diberikan ruang untuk menentukan dengan siapa mereka boleh membentuk kerajaan.

“Kami bagaimanapun tidak gelojoh dan hanya melihat perkembangannya nanti,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya