Ahmad Zahid beri kebebasan ahli Parlimen UMNO usul undi tidak percaya - Utusan Malaysia

Ahmad Zahid beri kebebasan ahli Parlimen UMNO usul undi tidak percaya

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dikatakan memberi kebebasan kepada kesemua 38 ahli Parlimen daripada parti itu untuk menyokong atau sebaliknya usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Parlimen yang akan bersidang semula, 26 Julai ini.

Menurut sumber kepada Utusan Online, perkara itu dinyatakan oleh Ahmad Zahid dalam mesyuarat MT yang dipengerusikannya malam tadi, yang memutuskan sokongan UMNO terhadap Muhyiddin ditarik balik dan ditamatkan serta merta, sekali gus untuk membolehkan seorang Perdana Menteri baharu dilantik dalam suatu tempoh yang terhad.

Bagaimanapun, isu ‘kebebasan kepada ahli Parlimen’ itu tidak dinyatakan oleh Presiden dalam sidang akhbar secara maya selepas mesyuarat.

“Isu kebebasan kepada ahli Parlimen UMNO itu menjadi sebahagian daripada perkara yang terkandung ketika Presiden merumuskan hasil mesyuarat MT UMNO malam tadi.

“Tetapi tidak dinyatakan oleh Presiden, memang perkara itu ada dalam penggulungan (Presiden) . Saya tidak tahu mengapa perkara itu tidak disebut sewaktu sidang akhbar,” kata sumber ketika dihubungi

Dalam masa yang sama, seorang ahli MT yang tidak mahu identitinya didedahkan berkata, antara pimpinan yang lantang bersuara ketika mesyuarat malam tadi adalah Pengarah Pilihan Raya UMNO sendiri iaitu Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Sumber berkata, Tajuddin menjelaskan sekarang bukan masa yang sesuai untuk menarik sokongan terhadap Perdana Menteri kerana jika diadakan pilihan raya umum dalam waktu terdekat, jentera UMNO sendiri tidak bersedia untuk pergi ‘berperang’.

Selain itu, difahamkan Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak turut mempersoal apakah bentuk jajaran baharu yang akan dibuat UMNO jika tidak mahu bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).

“Tajudin cakap dia menjelaskan perkara itu berdasarkan statistik yang dikumpul ketika turun padang dari negeri ke setiap negeri, tapi Presiden diam sahaja tidak menjawab persoalan tersebut,” ujar ahli MT itu lagi.

Ketika ini, difahamkan menteri dan dan timbalan menteri UMNO bergegas ke rumah Perdana Menteri bagi membincangkan kemelut yang berlaku susulan keputusan MT malam tadi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya