Ahmad kemuka representasi sekali lagi batal pertuduhan - Utusan Malaysia

Ahmad kemuka representasi sekali lagi batal pertuduhan

AHMAD MASLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan sekali lagi mengemukakan representasi kepada pihak pendakwaan untuk membatalkan dua pertuduhan yang dihadapinya iaitu gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ahmad turut dibicarakan terhadap tuduhan kedua memberi penyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Mukhzany Fariz Mohd. Mokhtar memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menerima respresentasi yang dikemukakan oleh pihak pembelaan.

Menurut Mohd. Mukhzany, beliau sepatutnya menemui Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun semalam bagi membincangkan perkara itu namun ia telah ditunda berikutan beberapa isu yang tidak dapat dielakkan.

Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd. Salleh kemudian mengingatkan kedua-dua pihak supaya menyelesaikan urusan
respresentasi lebih awal kerana perbicaraan akan didengar tahun depan.

Mohd. Mukhzany turut memaklumkan, semua dokumen yang diperlukan termasuk pernyataan saksi sudah diserahkan kepada pihak pembelaan dan pihak pendakwaan akan memanggil seramai 10 saksi memberi keterangan.

Mahkamah selanjutnya menetapkan pendengaran kes selama 23 hari bermula 7 Jun 2022 manakala 24 Ogos ini ditetapkan untuk sebutan bagi membolehkan pertuduhan dibacakan terhadap Ahmad.

Hari ini sepatutnya ditetapkan untuk sebutan kali pertama di Mahkamah Tinggi selepas kesnya dipindahkan dari Mahkamah Sesyen pada 13 Julai lalu.

Bagaimanapun, peguam Hamidi Mohd. Noh memaklumkan bahawa tertuduh, 55, tidak dapat hadir kerana mempunyai kontak rapat dengan dua individu yang disahkan positif COVID-19 di Parlimen, semalam.

Ahmad didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar berjumlah RM2 juta yang diterima daripada bekas Perdana Menteri kepada LHDN dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan Bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Beliau dituduh telah menerima wang tersebut, yang dipercayai sebagai hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang, melalui cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013, dan cek itu telah ditunaikan sendiri oleh Ahmad, pada hari sama.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini, pada 30 April 2014.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Ahmad didakwa memberi penyataan palsu kepada SPRM semasa percakapannya dirakam oleh pegawai penyiasat SPRM iaitu Ketua Penolong Kanan Penguasa Mohd Zairi Zainal, berhubung isu itu di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini antara 2.45 petang hingga 3.30 petang pada 4 Julai 2019.

Pertuduhan mengikut Seksyen 32(8)(c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya