PETALING JAYA: Pertemuan sekumpulan ahli Parlimen UMNO di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia di ibu negara malam tadi, memfokuskan hanya satu isu iaitu perlu atau tidak keluar dari kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang disambut perasaan berbelah-bahagi dalam kalangan mereka.
Perjumpaan disertai Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi itu menyaksikan presiden parti berpendapat ‘sudah tiba masanya’ untuk ahli Parlimen UMNO keluar dari kerajaan.
Sumber yang layak dipercayai memberitahu Utusan Online , pandangan Ahmad Zahid itu disokong Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak yang turut hadir.
Namun, sebahagian ahli Parlimen diketuai Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Bera) tidak bersetuju dan disokong Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Ismail Mohamed Said; Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar dan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang masing-masing mengingatkan belum masanya berbuat demikian.
Akhbar ini dimaklumkan sekurang-kurangnya 29 ahli Parlimen UMNO menghadiri perjumpaan malam tadi termasuk Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang dikaitkan dengan isu Akuan Bersumpah (SD) 25 ahli Parlimen UMNO.
Bagaimanapun, kelibat beberapa ahli Parlimen seperti Tan Sri Annuar Musa (Ketereh), Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (Padang Rengas) yang kini berada di luar negara, Khairy Jamaluddin (Rembau) serta Datuk Seri Mahdzir Khalid (Padang Terap) tidak kelihatan di Wisma Perwira itu.
Dalam sesi itu, beberapa pertanyaan dibangkitkan kepada Ahmad Zahid, antaranya ditimbulkan Ismail mengenai isu sokongan terhadap Anwar.
“Tetapi isu sokongan terhadap Anwar ini tidak dijawab oleh Presiden dan berlalu begitu sahaja.
“Noh pula berpandangan sekarang bukan masa yang sesuai menarik diri kerana Parlimen belum bersidang. Nak ambil tindakan pun, tunggu sampai Parlimen dibuka dulu.
“Tajuddin pula menyatakan ‘sebelum ini kita dah buat macam-macam tapi semua tidak menjadi. Dulu pun ada benda yang kita tidak bersetuju dengan Presiden, tapi kita ikutkan juga, macam-macam masalah timbul. Itu kata Tajuddin dalam perjumpaan tersebut.
“Bagaimanapun Hishammuddin hanya diam sepanjang pertemuan,” kata sumber.
Pertemuan di Wisma Perwira malam tadi berlangsung beberapa jam dari sesi pertemuan di Menara Dato’ Onn sebelah petangnya antara Ahmad Zahid dan beberapa pemimpin UMNO.
Semalam, Utusan Online melaporkan sebahagian ahli Parlimen UMNO menolak gesaan Ahmad Zahid supaya keluar daripada kerajaan PN.
Ini kerana mereka menyifatkan sekarang bukan masa yang sesuai berpolitik, sebaliknya usaha menangani pandemik Covid-19 lebih utama. – UTUSAN ONLINE