KUANTAN: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Ketua Majlis Mesyuarat Dewan boleh membenarkan usul undi percaya dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat pada satu tarikh lebih awal daripada 26 Julai ini bagi mengelak gerhana politik negara berpanjangan.
Perdana Menteri boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong di bawah Seksyen 14(2)(b) memanggil mesyuarat khas bagi maksud tersebut untuk mengawal implikasi lebih buruk kepada ekonomi negara susulan pengumuman Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Pengarah Institut Tamadun dan Kajian Strategik (ITKAS) Universiti Malaysia Pahang (UMP), Profesor Madya Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, walaupun Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, namun belum tentu Muhyiddin hilang undi percaya.
Ini kerana katanya, yang menentukan sokongan itu adalah dalam kalangan ahli Dewan Rakyat.
“Tidak mustahil Perdana Menteri bakal menerima sokongan ahli Parlimen lain di samping mengekalkan sokongan daripada ahli Parlimen UMNO,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, sidang mesyuarat MKT UMNO yang diadakan secara dalam talian memutuskan menarik balik sokongan serta-merta terhadap Muhyiddin.
Presiden UMNO, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, sokongan yang diberikan oleh UMNO sejak Mac tahun lalu itu ditarik balik selepas mendapat undian dua pertiga ahli MKT.
Wan Ahmad Fauzi berkata, selain itu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah juga boleh menitahkan sidang Parlimen pada 26 Julai ini dimasukkan sama usul untuk menguji undi percaya kepada Perdana Menteri bagi mengelak isu kepercayaan terus dipolemikkan.
“Pilihan lain buat Yang di-Pertuan Agong ialah melaksanakan proses temu duga ahli Parlimen seperti yang pernah dibuat sebelum ini jika Seri Paduka fikir masanya sudah tiba nanti. Perdana Menteri hanya perlu meletakkan jawatan jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati dia tidak lagi mempunyai undi majoriti.
“Sebaliknya, untuk melantik Perdana Menteri syaratnya pada hemat Seri Paduka seorang ahli Dewan Rakyat yang ‘mungkin’ mendapat sokongan majoriti Dewan Rakyat. Ini bermaksud syarat pelantikan seorang Perdana Menteri dari sudut kepercayaan, tidaklah seketat untuk seorang Perdana Menteri meneruskan jawatannya.
“Maksudnya seorang Perdana Menteri baharu perlu diberi peluang untuk membuktikan kepercayaan selepas dilantik.
“Misalnya, ahli Parlimen boleh menilai prestasi Muhyiddin selepas memegang jawatan selama lebih kurang 16 bulan. Dalam tempoh ini Muhyiddin sudah pun mempamerkan kepimpinan serta prestasinya, justeru sama ada beliau layak diberi kepercayaan atau sebaliknya untuk terus memimpin Kabinet mengharungi cabaran semasa, boleh diberi pertimbangan sewajarnya,” katanya.