KUANTAN: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Lipis menahan 29 orang yang berasal dari Selangor dan Kuala Lumpur sekitar pukul 8 pagi hari ini di Kampung Rakoh, Pos Lenjang, Sungai Koyan, Lipis di sini.
Turut ditahan bersama kumpulan itu adalah Ahli Dewan Undangan (ADUN) Teratai, Bryan Lai Wai Chong.
Turut disita 11 buah kenderaan pacuan empat roda yang digunakan mereka.
JPNP dalam kenyataannya berkata, hasil siasatan awal mendapati, kumpulan itu memasuki Hutan Simpan Ulu Jelai sekitar pukul 11 pagi semalam tanpa kebenaran dan dimaklumkan untuk memberi bantuan makanan kepada penduduk Orang Asli Pos Lenjang, Lipis.
“Kesemua suspek yang ditahan dibawa ke Balai Polis Sungai Koyan untuk saringan kesihatan.
“Sisatan lanjut dijalankan dibawah Seksyen 47 dan 88 Akta Perhutanan Negara, masing-masing keperluan permit memasuki hutan simpan serta kuasa menangkap, menyita dan menyiasat oleh pegawai perhutanan,” kata kenyataan itu.
Menurutnya kenyataan tersebut, siasatan masih lagi diteruskan bersama pihak PDRM.