KUALA LUMPUR: Penyanyi, Ryan Deedat memaklumkan berita sedih adik bongsunya, Sharifah Nur Intan Sheifeeka, 25, telah menghembuskan nafas terakhir akibat barah otak di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada pukul 8.15 pagi, hari ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Allahyarham akan dikafankan dan dimandikan di Masjid Al-Khairiyah Taman Seri Gombak, manakala urusan pengebumian akan dilakukan selepas waktu Asar di Tanah Perkuburan Seri Gombak.
“Adik saya menghidap barah otak, dapat tahu masa bulan puasa lalu. Katanya sakit dan pening kepala sangat. Pada awalnya sebelum ini saya ingatkan adik hanya sakit kepala biasa saja.
“Selepas itu saya bawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut dan keputusan mendapati terdapat barah pada otak sebesar anggaran bola golf. Lantas kami daftarkan adik ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM ) dan kemudian ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Sepatutnya operasi pembedahan boleh dilakukan awal namun atas kekangan Covid-19 terpaksa ditunda dalam tempoh dua minggu, mungkin itu penyebabnya,” ujarnya yang sedang menunggu van jenazah di HKL.
Tambah Ryan, dia terkilan kerana sepanjang adiknya berjuang dengan sakit itu dia tidak dapat menemaninya gara-gara pandemik.
Dalam pada itu, apa yang lebih membuat Ryan dilemma ketika ini adalah bagaimana caranya untuk memaklumkan khabar sedih ini kepada ibunya yang menghidap strok.
“Adik seorang yang disayangi dan rapat dengan emak. Kalau saya ada kerja di luar dialah selalu jaga dan tengokkan emak.
“Jadi saya tidak tahu lagi sama ada nak bagitahu, tapi kena bagitahu, tak bagitahu kejam. Saya kena tawakal dan ikhtiar kalau terjadi apa-apa.
“Kami semua terpaksa bersedia dan tidak boleh sorok berita ini sebab semalam emak sudah menangis teringatkan adik. Kemungkinan besar akan bawa emak pergi ke masjid petang ini,” ujarnya.