PUTRAJAYA: Kerajaan menempah lebih 76.1 juta dos vaksin Covid-19 daripada pelbagai syarikat pengeluar memandangkan vaksinasi adalah kunci utama kejayaan melawan wabak itu.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jumlah itu meliputi 70 peratus dari Pfizer, 23.4 peratus (Sinovac), 10 peratus (Astrazaneca), 10.9 peratus (CanSino) dan 10 peratus daripada fasiliti COVAX.
Menurut beliau, setakat ini, negara sudah menerima 20 juta dos dari keseluruhan jumlah vaksin yang ditempah.
“Dijangkakan kita menerima jumlah keseluruhan 30 juta dos pada akhir bulan ini, 40 juta dos pada Ogos, 53 juta dos (September) dan 58 juta dos (Oktober). Baki selebihnya akan diterima antara November hingga Januari 2022.
“Jadual asalnya, 80 peratus penduduk Malaysia akan menerima dos lengkap vaksin menjelang suku pertama 2022. Sasaran ini kemudiannya dipercepatkan ke Disember tahun ini,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook beliau hari ini.
Muhyiddin berkata, dengan penemuan varian-varian baharu Covid-19 kini yang lebih ganas dan kes-kes positif meningkat dengan mendadak, sasaran program vaksinasi dipercepatkan lagi.
Beliau menjelaskan, keseluruhan 100 peratus populasi dewasa di Selangor dan Kuala Lumpur akan menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin pada 1 Ogos ini di bawah Operasi Lonjakan Kapasiti.
Katanya, bagi jumlah 100 peratus populasi dewasa di Sarawak pula akan menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin pada akhir bulan depan.
“Hampir semua negeri akan mencatatkan kadar vaksinasi melebihi 50 peratus pada akhir bulan depan. Semua negeri akan mencatatkan kadar vaksinasi melebihi 70 peratus pada September ini.
“100 peratus populasi dewasa di Malaysia akan menerima dos lengkap vaksin pada Oktober. Peningkatan kapasiti untuk mencapai kadar suntikan 500,000 dos sehari,” katanya.