MELAKA: Seramai enam daripada 65 Senator yang belum menerima suntikan vaksin Covid-19, perlu berbuat demikian secepat mungkin, kata Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.
Beliau berkata, mereka perlu segera mendapatkannya agar tidak berdepan masalah untuk menghadiri persidangan selama tiga hari bermula 3 Ogos ini.
Menurutnya, persidangan tersebut bagaimanapun belum ada kata putus sama ada secara fizikal atau hibrid dan ia bakal dimaklumkan dalam masa terdekat.
“Jika persidangan dibuat secara hibrid, mungkin tidak ada keperluan untuk mereka menyegerakan suntikan vaksin, tetapi jika secara fizikal, mereka yang tidak melepasi dua dos suntikan vaksin tidak dibenarkan menghadiri persidangan ini.
“Pun begitu, adalah lebih baik mereka segera membuat suntikan vaksin kerana langkah itu dilihat lebih selamat dan memudahkan perjalanan persidangan nanti.
“Surat peringatan telah diberikan kepada ahli Dewan Negara yang masih belum menerima suntikan agar berbuat demikian seberapa segera,” katanya kepada Utusan Online .
Kerajaan telah menetapkan Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 diadakan selama lima hari bermula 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos ini bagi Dewan Rakyat manakala Dewan Negara pula dari 3 hingga 5 Ogos.
Mohamad Ali menambah, mesyuarat yang akan diadakan nanti akan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang akan ditentukan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan.
Ujarnya, nota kepada semua Senator kini dalam proses untuk diedarkan dan kesemua mereka perlu mengambil maklum perkara tersebut.
“Setakat ini, persiapan rapi sebelum persidangan giat dijalankan dengan tumpuan daripada segi teknikal dan sebagainya sudah mencapai 60 peratus,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE