Melaka benarkan 500 jemaah solat sunat Aidiladha

500 jemaah boleh solat sunat Aidiladha di Melaka

KERAJAAN negeri Melaka membenarkan solat sunat Aidiladha dilaksanakan dengan jumlah maksimum seramai 500 jemaah di tujuh buah masjid kerajaan negeri. - FOTO/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Melaka membenarkan solat sunat Aidiladha dilaksanakan dengan jumlah maksimum seramai 500 jemaah di tujuh buah masjid kerajaan negeri. 

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Sukri Che Mat dalam kenyataan berkata, bagaimanapun untuk masjid kariah dan masjid institusi negeri pula hanya 100 jemaah sahaja dibenarkan. 

“Solat sunat Aidiladha dibenarkan untuk dilaksanakan secara berjemaah dengan jumlah maksimum kehadiran adalah 500 jemaah di tujuh buah masjid kerajaan negeri.

“Manakala 100 jemaah di masjid kariah dan masjid institusi negeri dan 50 jemaah di surau-surau yang yang dibenarkan mendirikan solat Jumaat,” katanya. 

Tambahnya, surau awam yang mendapat kebenaran khas dari Jabatan Mufti Negeri Melaka untuk melaksanakan Solat Aidiladha juga dibenarkan dengan jumlah maksimum seramai 50 jemaah.

Mengulas lanjut, beliau berkata, masjid dan surau yang berada dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) adalah tidak dibenarkan untuk melaksanakannya secara berkumpulan.

“Penduduk hendaklah mendirikan solat sunat Aidiladha di rumah masing-masing. Penduduk di kawasan PKPD juga adalah dilarang pergi ke masjid dan surau di kawasan lain.

“Kehadiran jemaah di kesemua masjid dan surau hendaklah dilaksanakan di dalam bangunan masjid dan surau dengan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1.5 meter,” jelasnya.

Tambahnya, jemaah yang hadir juga mestilah berusia 12 tahun ke atas dan pemasangan khemah dalam kawasan masjid serta surau adalah tidak dibenarkan.

Katanya, takbir Aidiladha secara berkumpulan dibenarkan di masjid dan surau selepas solat Maghrib pada malam 10 Zulhijjah (19 Julai) sehingga pukul 10 malam dengan jumlah kehadiran tidak melebihi 12 orang.

“Penganjuran aktiviti takbir dari rumah ke rumah adalah tidak dibenarkan. Pentadbiran masjid dan surau perlulah memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya