PETALING JAYA: Anggaran antara 400 sehingga 450 orang berhimpun dalam protes #Lawan di Dataran Merdeka hari ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah memberitahu Utusan Malaysia, bagaimanapun, protes berkenaan dapat disuraikan secara aman.
Kata beliau, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan memangil penganjur dan peserta perhimpunan berkenaan.
“Kekuatan kita sepanjang protes berkenaan adalah mencukupi dan protes berkenaan dapat disuraikan secara aman,” katanya ringkas ketika dihubungi di sini hari ini.
Terdahulu, sekumpulan individu a mula berkumpul sejak 10 pagi tadi di hadapan stesen LRT Masjid Jamek, dengan berpakaian serba hitam.
Sebaik sahaja pukul 11 pagi, mereka mula berarak ke arah Dataran Merdeka.
Pelbagai perkataan yang dilaungkan seperti ‘Hidup Rakyat’, ‘Bangkit Anak Muda dan ‘Kerajaan Gagal’, dengan kebanyakannya mengecam kerajaan.
Polis sudah pun menutup kesemua jalan menghala ke Dataran Merdeka, menyebabkan ramai peserta protes meletakkan kenderaan di lokasi yang jauh dan menaiki LRT. – UTUSAN