KUALA LANGAT: Masjid Jamiul Ehsani menjadi pusat kepada 15 buah surau sekitar kawasan Sijangkang di sini untuk melaksanakan ibadah korban pada sambutan Hari Raya Aidiladha, kali ini.
Pelaksanaan ibadah korban secara berpusat itu dikatakan meematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh kerajaan dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Ahli jawatankuasa masjid berkenaan, Zainal Ulum Ahmad Kasah berkata, sebanyak 32 ekor lembu akan disembelih pada sambutan Hari Raya Aidiladha pada tahun ini dan jumlah itu jauh lebih sedikit berbanding sebelum serangan wabak pandemik.
“Sebelum pandemik dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), di sini biasanya akan menerima permohonan ibadah korban melibatkan penyembelihan lembu melebihi 100 ekor.
“Cuma kali ini, ada 32 ekor sahaja melibatkan 15 buah surau yang mana jemaahnya adalah kariah masjid ini yang akan dilaksanakan dalam masa empat hari. Hari ini kita melaksanakan ibadah korban untuk kariah Surau Tasmin dan Surau Haji Salim,” katanya.
Tambahnya, lapan ekor lembu ‘ditumbangkan’ pada hari ini dan baki 16 ekor lagi akan dikorbankan pada esok dan Jumaat. – UTUSAN ONLINE