GEORGETOWN: Tiga pengarah syarikat direman empat hari di Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes tohmahan rasuah membabitkan nilai RM65,000.
Perintah tahanan reman sehingga 10 Julai ini itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Rendah Georgetown, Balqis Roslin selepas permohonan dibuat Pegawai Permohonan Reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Azlan Basri.
Ketiga-tiga suspek lelaki berusia 29, 30 dan 37 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung tohmahan mengemukakan tuntutan palsu pembekalan implan ortopedik kepada agensi-agensi bantuan antaranya Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Pusat Zakat.
Mereka ditahan semalam ketika hadir memberi keterangan berhubung kes itu di ibu pejabat SPRM di sini.
Terdahulu, kesemua suspek tiba di Kompleks Mahkamah Georgetown dengan berpakaian lokap SPRM dan bergari serta diiringi beberapa pegawai SPRM.
Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah 24(2) Akta yang sama.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dikenakan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah dipalsukan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Kesemua suspek yang kini ditahan di lokap SPRM Pulau Pinang untuk siasatan lanjut diwakili tiga peguam iaitu E. Grasegaran; Audrey Wee Li Ye dan R. Arvend. – UTUSAN ONLINE