KUBANG PASU: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) meluluskan lebih 26,000 permohonan penangguhan pembayaran pinjaman oleh golongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Pengerusinya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, permohonan tersebut membabitkan moratorium bersasar selamat tiga bulan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).
Katanya, jumlah permohonan yang diluluskan itu dijangka terus meningkat memandangkan masih banyak permohonan yang masih di peringkat penilaian.
“Ini tanda keprihatinan kerajaan dan PTPTN kepada mereka yang terkesan dengan apa yang berlaku. Bagi saya, golongan ini tidak perlu malu untuk tampil memohon penangguhan pembayaran tersebut kerana kita sememangnya berhasrat untuk membantu mereka.
“Di sebalik semua itu, kita juga menghargai segolongan peminjam lain yang terus membuat bayaran. Langkah sedemikian turut perlu dipuji bagi membolehkan kita terus membantu golongan yang benar-benar memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar ketika menghadiri program ibadah korban Pengerusi PTPTN di Pusat Penyembelihan Fatimah MZ Farm, Changlun di sini hari ini.
Yang hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Kebajikan negeri, Halimaton Saadiah Saad.
Dalam pada itu, katanya, pihaknya dijangka mengumumkan pelan strategik PTPTN pada hujung bulan ini setelah beberapa kali tertangguh sebelum ini.
“Sepatutnya kita hendak lancarkan pelan itu melalui satu majlis yang diadakan sebulan atau dua bulan lepas. Tetapi perancangan itu tak dapat dilaksanakan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Disebabkan itu kita telah membuat keputusan untuk tak perlu adakan majlis. Insya-Allah, kita umumkan pada penghujung bulan ini,” katanya.
Tambahnya, terdapat beberapa teras digariskan dalam pelan tersebut termasuklah penekanan terhadap penggunaan teknologi terkini untuk mengemas kini data peminjam. -UTUSAN ONLINE