MELAKA: Seramai 223 petugas barisan hadapan (frontliners) di negeri ini dijangkiti Covid-19 setakat 7 Julai lalu sejak pandemik itu melanda negara pada Mac 2020.
Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, jumlah itu melibatkan 2.7 peratus daripada keseluruhan 8,280 petugas barisan hadapan.
Jelas beliau, langkah berjaga-jaga tetap diambil meskipun tiada kematian melibatkan petugas kesihatan dicatatkan setakat ini.
“Mengikut laporan yang saya terima, semua petugas barisan hadapan sudah selesai divaksin. Saya mengucapkan terima kasih dan syabas kepada semua barisan hadapan di Melaka khususnya dalam berjuang melawan Covid-19.
“Saya merasai keperitan dan tugas berat anda. Ketika kes Covid-19 masih tinggi, anda semua terdedah dengan risiko jangkitan dan terpaksa bertungkus-lumus membantu pesakit yang dijangkiti,” katanya semasa menyampaikan Amanat Penjawat Awam Negeri Melaka di sini hari ini.
Kes Covid-19 di Melaka menunjukkan peningkatan ketara apabila mencatatkan angka postitif harian tertinggi iaitu sebanyak 835 kes yang mana kluster kilang menjadi penyumbang terbesar.
Tambah Sulaiman, kerajaan negeri mengambil tindakan tegas dengan mengguna pakai Akta 342 iaitu Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 bagi mengekang penularan wabak maut itu.
Jelasnya, pihaknya mengarahkan kilang-kilang yang mempunyai kes positif Covid-19 menghentikan sementara operasi secara pentadbiran selama 14 hari.
“Tidak keterlaluan saya katakan Melaka menjadi negeri pertama yang mengambil tindakan tegas sedemikian mengikut akta tersebut. Tindakan ini mendapat perhatian seorang pemimpin yang menyokong dan turut menegur kerajaan negerinya.
“Buktinya, setakat ini sebanyak 28 buah kilang diarahkan penutupan sementara secara pentadbiran. Selain itu, saya telah mengarahkan kilang-kilang tersebut melakukan ujian saringan bersasar secara besar-besaran dan perlu pastikan pekerja bebas daripada Covid sebelum dibenarkan beroperasi semula,” katanya.