2 lelaki tidak mengaku curi bekalan elektrik lombong Bitcoin - Utusan Malaysia

2 lelaki tidak mengaku curi bekalan elektrik lombong Bitcoin

DUA lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, Georgetown, Pulau Pinang hari ini atas dakwaan mencuri bekalan elektrik untuk melombong mata wang kripto, Bitcoin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas enam pertuduhan mencuri bekalan elektrik bagi menjalankan kegiatan perlombongan mata wang kripto, Bitcoin.

Ang Ming Kee, 35, dan Ung Kwan Meng, 40, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan tiga Majistret berbeza iaitu Rosnee Mohd. Radzuan, Jamaliah Abdul Manap dan R. Monamani.

Bagi kesemua pertuduhan itu, Ming Kee yang merupakan seorang peniaga dan Kwan Meng seorang juruwayar didakwa dengan curang menghalang meter elektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) daripada merekodkan bacaan dengan sempurna.

Perbuatan itu dilakukan dengan membuat penyambungan wayar tambahan menggunakan kontraktor menyebabkan meter-meter elektrik TNB tidak dapat merekodkan arus sebenar yang digunakan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di enam buah premis masing-masing di Sungai Dua; Lorong Perak; Jalan Perak; Greenlane dan Jelutong (2) dekat sini antara pukul 5 petang hingga 2.30 pagi pada 11 dan 12 Jun lalu.

Sehubungan itu mereka didakwa di bawah Subseksyen 37(3)(c) Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin keseluruhan sebanyak RM21,000 setiap seorang manakala tarikh sebutan semula ditetapkan pada 25 Ogos dan 15 September ini.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Fatin Hussein; Yazid Mustakim Roslan dan Mohammad Nazri Abdul Rahim manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam K. C. Ang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya