1,500 pekerja pasar di Seremban terima vaksin Covid-19 - Utusan Malaysia

1,500 pekerja pasar di Seremban terima vaksin Covid-19

ANTHONY Loke Siew Fook ketika mengadakan lawatan ke Program Vaksinasi Kepada Peniaga Pasar di PPV Sehat Healthcare Centre di Seremban 2, Seremban hari ini.-UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seramai 1,500 orang pekerja dari empat buah pasar utama di daerah ini memperoleh vaksin Covid-19 mereka menerusi program vaksinasi yang diaturkan Pejabat Ahli Parlimen Seremban sejak kelmarin.

Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook berkata, program dengan kerjasama dan tajaan pihak swasta itu menyasarkan pemberian vaksin kepada pekerja-pekerja di Pasar Besar Seremban, Pasar Ampangan, Pasar Nilai dan Pasar Mantin khususnya mereka yang masih belum memperoleh janji temu menerusi MySejahtera.

“Kami menjangkakan sepanjang empat hari program ini yang berakhir esok, seramai 1,500 orang pekerja pasar akan menerima suntikan vaksin Covid-19 mereka. Setakat dua hari lalu, seramai 740 orang telah pun divaksinasi di dua buah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Swasta di Seremban 2, di sini.

“Ini merupakan satu usaha dan inisiatif untuk memberikan vaksin kepada peniaga-peniaga pasar kerana mereka juga golongan berisiko. Mereka perlu berdepan dengan orang ramai setiap hari dan pasar adalah satu keperluan asas dan ia tidak boleh ditutup,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Program Vaksinasi Kepada Peniaga Pasar di PPV Sehat Healthcare Centre di Seremban 2 di sini hari ini.

Jelasnya, semua penerima vaksin tersebut tidak perlu membuat sebarang pembayaran dan setiap kos program tersebut ditaja oleh pihak swasta sebagai program tanggungjawab sosial korporat.

“Kita mahu memastikan peniaga-peniaga pasar dilindungi, orang ramai juga rasa lebih selamat bila mereka berkunjung ke pasar-pasar.

“Tahun lepas ada pasar ditutup lebih seminggu kerana ada kes positif Covid-19, kita mahu elakkan perkara seperti ini berlaku dan kita tidak boleh biarkan pasar terdedah dengan jangkitan. Apabila peniaga menerima vaksin mereka akan rasa lebih selamat malah pengunjung juga rasa begitu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN