PUTRAJAYA: Sejumlah 13 lokaliti dalam Daerah Kuantan, Pahang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara serentak berkuat kuasa Ahad sehingga 31 Julai ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antaranya meliputi Taman Seri Inderapura, Taman Indera Sempurna, Taman Tas dan Pandan serta Taman Impianku.
“Begitu juga Tanjung Lumpur, Peramu, Anak Air, Sungai Derhaka, Kempadang, Sungai Soh, Kampung Pahang, Sungai Isap dan Lorong Seri Teruntum selain Taman Chengal, Daerah Temerloh,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Jelas beliau, turut dikenakan PKPD empat lokaliti di Selangor antaranya Damai Apartment, PJS 8, Mukim Damansara, Daerah Petaling dan Jalan Pandan Indah, Mukim Ampang, Daerah Hulu Langat.
Baki dua lokaliti lagi di negeri tersebut terletak di kawasan Jalan Batu Nilam, Bandar Bukit Tinggi, Mukim Klang, Daerah Klang dan Taman Samudera, Mukim Batu, Daerah Gombak.
Di Sarawak pula, tiga lokaliti kesemuanya di Bahagian Kuching juga dilaksanakan PKPD iaitu Kampung Seratu, Kampung Astana Lot dan Kampung Sungai Bedil Besar termasuk tiga lokaliti di Sabah iaitu Kampung Pinolobuh, Kota Belud; PPR Taman Ehsan, Kudat serta Ladang KLK Lungmanis dan kuarters, Silabukan, Lahad Datu.
Sementara itu, Ismail Sabri memaklumkan bahawa dua lokaliti di negeri berkenaan yang sepatutnya berakhir PKPD serentak esok, namun disambung lagi membabitkan Kampung Siasai Dundau, Daerah Kota Belud dan Kampung Naruntung, Daerah Pitas, Bahagian Kudat.
Namun, tiga lokaliti di negeri itu ditamatkan PKPD serentak esok iaitu Kampung Pantai Emas, Kota Belud; Kampung Babagon, Penampang dan Kampung Iban Kuala Nansang, Tawau.
Turut berakhir PKPD seperti dijadualkan ialah Taman Nagasari, Mukim 6, Daerah Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang dan Taman Desaria, Daerah Seremban, Negeri Sembilan selain Kilang Jimat Jaya Sdn. Bhd. di Kawasan Industri Ringan Bukit Makmur serta asrama pekerja perindustrian di Daerah Kuala Muda, Kedah.