11 kru selamat, kapal korek terbakar - Utusan Malaysia

11 kru selamat, kapal korek terbakar

KEADAAN kapal korek dinaiki mangsa yang terbakar di Sungai Chondong Besar, Pulau Indah, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELABUHAN KLANG: Seramai 11 kru warga asing terselamat selepas kapal korek dinaiki mereka terbakar kira-kira 0.3 batu nautika dari Sungai Chondong Besar, Pulau Indah, dekat sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian pukul 12.48 tengah hari itu, semua mangsa terdiri daripada tujuh warga China dan empat Indonesia menaiki kapal MV Shi Xian 156.

Bagaimanapun, kesemua kru terbabit berjaya diselamatkan Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Mohd. Rosli Kassim berkata, bot Maritim dikerah ke lokasi kejadian bagi melaksanakan operasi mencari dan menyelamat termasuk membuat kawalan keselamatan.

Menurutnya, operasi khas itu turut melibatkan PPM, JBPM dan bot survey dari Lembaga Pelabuhan Klang (LPK).

“Hasil pemeriksaan mendapati 11 kru kapal korek itu selamat tanpa sebarang kecederaan dan dipindahkan ke daratan terdekat.

“Kerja pemadaman api giat dilakukan berikutan terdapat tangki minyak di lokasi kebakaran, namun berjaya dikawal sepenuhnya oleh bomba dalam tempoh enam jam,” katanya dalam kenyataan.

Jelas Mohd. Rosli, siasatan awal pihaknya mendapati tiada tumpahan minyak dilaporkan setakat ini.

“Namun, kita akan menjalankan pemantauan secara berterusan di lokasi kejadian,” katanya.

Tambah beliau, APMM menasihatkan komuniti maritim sentiasa peka mengenai keselamatan di laut dan bersiap sedia dengan sebarang kejadian tidak diingini di laut bagi mengelak kehilangan nyawa dan harta benda.

“Selain itu, kita akan terus meningkatkan operasi penguatkuasaan bagi membenteras sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan di perairan negara.

“Orang ramai diminta menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah dan kecemasan di laut menerusi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 dan MERS 999 yang beroperasi secara 24 jam,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya