TANJUNG MALIM: Sebanyak 11 kenderaan diarah berpatah balik ketika pemeriksaan sekatan jalan raya (SJR) di sempadan Perak-Selangor di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, arahan itu dikeluarkan di SJR Kilometer 126, Jalan Persekutuan Kuala Lumpur berhampiran Taman Universiti dan SJR Behrang Selisik.
“Sebanyak tujuh kenderaan yang melalui SJR Kilometer 126 diarah berpatah balik di mana empat daripadanya memiliki surat kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) namun pergerakan kenderaan itu bukan berkaitan sektor perlu iaitu makanan dan bahan api.
“Dua buah kenderaan pula didapati mengemukakan tarikh janji temu penerimaan vaksin Covid-19 yang berbeza manakala sebuah kenderaan tidak memiliki surat kebenaran polis,” katanya di sini hari ini.
Menurut Sulizmie, berdasarkan pemantauan, kenderaan yang masuk ke daerah Muallim tidak menunjukkan sebarang pergerakan luar biasa.
Katanya, aliran trafik juga dalam keadaan terkawal iaitu pada skala satu dengan hanya kenderaan yang mempunyai surat kebenaran dibenarkan merentas ke daerah ini.
“Beberapa kenderaan yang diperiksa memberi alasan masuk ke daerah ini untuk membeli barang namun mereka diarah berpatah kerana alasan meragukan,” katanya.
Beliau juga mengingatkan tindakan tegas akan dikenakan terhadap pengguna jalan raya yang ingkar sekiranya didapati cuba merentas daerah dan negeri dipercayai untuk menyambut Hari Raya Aidiladha.
“Mereka yang tidak mempunyai surat kebenaran merentas daerah atau negeri akan dikenakan tindakan kompaun dan diarah berpatah balik,” katanya.
Semalam, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, 35 buah kenderaan yang dipercayai mencuba nasib untuk memasuki Kelantan di arah berpatah balik ketika pemeriksaan sekatan jalan raya (SJR) di dua lokasi di Gerik.
Menurut beliau, daripada jumlah itu, 19 buah kenderaan di arah berpatah balik di SJR Kilometer 89 Jalan Gerik-Kuala Kangsar manakala 16 buah kenderaan lagi di Kilometer 9 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli berhampiran Sungai Lebey.