SHAH ALAM: Bekas Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Bahagian Pengurusan), Datuk Zamani Ahmad Mansor dilantik menjadi Datuk Bandar Shah Alam yang baharu.
Beliau menggantikan Datuk Haris Kasim yang kini bertugas sebagai Pegawai Kewangan Negeri di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.
Zamani Ahmad berazam meningkatkan perkhidmatan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) secara digital atau dalam talian selaras prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang pandemik Covid-19.
“Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, perkhidmatan secara dalam talian digunakan sepenuhnya oleh orang ramai untuk berurusan dengan pihak MBSA dan lain-lain jabatan kerajaan.
“Masyarakat kita hari ini sudah sebati dengan penggunaan telefon pintar, maka kita berhasrat meningkatkan perkhidmatan secara dalam talian dari masa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Mengangkat Sumpah Jawatan Datuk Bandar Ke Sembilan Wisma MBSA, hari ini.
Zamani Ahmad berkata, teknologi kecerdasan buatan (AI) dan kamera litar tertutup (CCTV) juga akan perkasa sebagai medium pemantauan di kawasan taman semasa PKP dilaksanakan.
“Selain itu, kita boleh memantau sebarang aktiviti penambahan bangunan secara tidak sah dengan pemasangan CCTV di lokasi strategik,”katanya.
Mengulas mengenai pematuhan SOP dalam kalangan peniaga makanan dan orang ramai sepanjang PKP, beliau berkata pihaknya memantau kesemua peniaga yang tumbuh seperti cendawan demi mencari rezeki.
“Buat masa ini penguatkuasa MBSA terus memantau SOP dalam kalangan peniaga. Apa yang penting tempat perniagaan tidak menghalang lalulintas,” katanya. – UTUSAN ONLINE