PUTRAJAYA: Seorang ahli perniagaan wanita akan didakwa atas kesalahan melakukan aktiviti penstrukturan transaksi ‘smurfing’ lebih RM230,000 sekali gus menjadi pendakwaan pertama di negara ini.
Sumber berkata, suspek berusia 50-an itu disyaki cuba mengelak dikesan pihak bank yang perlu melaporkan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) berkaitan transaksi kemasukan atau pengeluaran wang berjumlah melebihi RM50,000 dalam sehari, oleh pelanggan.
Katanya, suspek dipercayai telah mengarahkan seorang individu mendepositkan wang ke dalam akaun perniagaannya dengan jumlah lebih kecil tidak melebihi RM50,000 secara berkali-kali pada hari sama bagi mengelak dikesan sebagai transaksi mencurigakan antara Januari hingga Mei 2018.
“Pihak bank yang terlibat dalam menguruskan transaksi itu tidak membuat Laporan Transaksi Tunai (Cash Threshold Report-CTR) kepada pihak BNM kerana transaksi yang dilakukan secara berganda dalam hari yang sama adalah dibenarkan.
“Pelaksanaan CTR merupakan mekanisme bagi BNM memantau apa-apa transaksi tunai sama ada deposit atau pengeluaran yang dilakukan oleh mana-mana orang di bank,” katanya hari ini.
Beliau berkata, penstrukturan transaksi atau ‘smurfing’ merupakan satu teknik yang digunakan penjenayah kewangan untuk memasukkan atau mengeluarkan wang tunai hasil daripada kegiatan haram di mana-mana institusi kewangan,” katanya.
“Perbuatan tersebut merupakan satu kesalahan dan boleh dituduh di bawah Seksyen 4A(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
“Bagi memastikan aktiviti ‘smurfing’ dikesan, BNM pada Disember 2018 meminda dan menetapkan kadar amaun CTR daripada RM50,000 kepada RM25,000 dalam satu hari yang mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2019,” katanya.
Kes berkenaan akan didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur esok.