KUALA PILAH: Seorang wanita mengaku bersalah di Mahkamah Seksyen di sini atas pertuduhan memukul adik iparnya di sebuah rumah di Felda Raja Alias 4, Jempol, 4 Jun lalu.
Tertuduh, Noor Asidah Md. Nor, 35, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norma Ismail.
Berdasarkan pertuduhan, lebih kurang pukul 8.30 pagi, di sebuah rumah di Felda Raja Alias 4, Jempol, tertuduh sebagai penjaga kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun telah memukul menggunakan rotan terhadap kanak-kanak tersebut.
Ia mengakibatkan kanak-kanak berkenaan mengalami kecederaan di seluruh bahagian iaitu di bahagian belakang badan, kedua-dua belah tangan, kedua-dua belah kaki, telinga dan kepala.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu kesalahan membabitkan penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak.
Jika sabit kesalahan tertuduh bakal berhadapan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.
Norma bagaimanapun menetapkan satu tarikh lain bagi menunggu laporan penuh perubatan mangsa.
Sebutan semula kes ditetapkan 14 Julai ini dan tertuduh yang tidak diwakili peguam dikenakan jaminan sebanyak RM5,000.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Christhoper Enteri Anak Mawan.
Media pada 5 Jun lalu melaporkan sepasang suami isteri ditangkap polis selepas dipercayai terbabit dalam kes dera seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun di Felda Raja Alias 4, Jempol.
Nasib malang yang menimpa kanak-kanak berkenaan terbongkar selepas polis menerima panggilan daripada orang awam kira-kira pukul 9.45 pagi iaitu terdapat seorang kanak-kanak dipukul di Felda berkenaan.