SEREMBAN: Seorang wanita maut tersepit selepas van pekerja yang dinaikinya terbabas ke dalam parit dalam kejadian di Jalan Batu 7, Labu dekat sini pagi tadi.
Mangsa, S. Selvarani, 54, dari Taman Bukit Kaya dekat sini dalam perjalanan menaiki sebuah van pekerja ke sebuah kilang di Nilai bersama enam lagi pekerja lain.
Komander Operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba yang juga Ketua Balai Bomba Seremban 2, Mohd. Asree Abd. Hamid berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada pukul 7.01 pagi dan tiba lima minit kemudian.
“Mangsa yang maut berusia 54 tahun itu dikatakan menaiki van pekerja dari arah Seremban ke Nilai bersama enam lagi pekerja lain. Mereka dikatakan dalam perjalanan ke tempat kerja di sebuah kilang di Nilai.
“Pihak bomba mengambil masa selama 10 minit untuk mengeluarkan seorang mangsa yang tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian. Mangsa yang lain cedera dibawa menaiki ambulans ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ),” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.
Menurut Mohd. Asree, van berkenaan dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kiri dan termasuk ke dalam parit menyebabkan van itu terbalik.
Jelasnya, terdapat dua orang lelaki dan lima orang wanita di dalam van berkenaan.
“Mangsa didapati meninggal dunia selepas disahkan oleh petugas Kementerian Kesihatan,” katanya.