PUTRAJAYA: Malaysia terus mencatatkan peningkatan kematian akibat Covid-19 apabila 83 kes dilaporkan semalam berbanding 77 kes kelmarin, manakala 879 kes ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 433 kes memerlukan bantuan pernafasan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor kekal menjadi penyumbang tertinggi korban iaitu 35 kes, sembilan kes di Kuala Lumpur, lapan kes di Johor, masing-masing tujuh kes di Sabah dan Negeri Sembilan, enam kes di Kelantan, tiga kes masing-masing di Sarawak dan Labuan, dua kes di Perak, serta masing-masing satu kes di Kedah, Melaka, dan Perlis.
“Seramai 40 lelaki termasuk tiga warga asing dan 43 wanita termasuk tiga warga asing berusia antara 26 hingga 93 tahun dengan 49 warga emas, 11 kes tiada penyakit dan enam meninggal dunia di rumah.
“Antara penyakit yang dikesan pula iaitu kencing manis, darah tinggi, jantung, buah pinggang kronik, paru-paru kronik, dislipidemia, asma, strok, kanser, obesiti, saraf, tuberkulosis dan hati,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, Malaysia merekodkan kes sembuh Covid-19 melebihi 6,000 iaitu 6,372 kes sekali gus mengatasi kes positif yang turut mengalami peningkatan iaitu 5,244 kes berbanding semalam, 4,743 kes manakala sebanyak 60,816 kes aktif.
Katanya, Selangor yang terus menjadi penyumbang terbesar mencatatkan peningkatan kes iaitu 2,000 kes berbanding semalam, 1,566 kes diikuti Negeri Sembilan (677), Sarawak (577), Kuala Lumpur (531), Johor (282) dan Pahang (245). – UTUSAN ONLINE