MUR-DE-BRETAGNE, Perancis: Mathieu Van der Poel menjuarai peringkat kedua Tour de France (TdF) semalam untuk menyambar jersi kuning selaku pendahulu keseluruhan, sekali gus membuang separuh beban yang dipikul sebagai ‘waris’ pelumba legenda.
Pelumba Belanda berusia 25 tahun itu adalah cucu kepada ikon berbasikal Perancis iaitu mendiang Raymond Poulidor, yang sering menaiki podium TdF dan amat disayangi peminat berbasikal Perancis biarpun tidak pernah menyarung jersi kuning.
Selepas memenangi perlumbaan pertamanya, Van der Poel mengalirkan air mata dan menutup muka, sebelum menghela nafas lega kerana akhirnya berjaya membuang separuh beban yang digalas di dua kawasan pendakian dramatik Mur-de- Bretagne.
“Bayangkan bagaimana perasaannya, dia tiada di sini,” kata van der Poel ketika bercakap mengenai datuknya yang meninggal dunia pada 2019 di usia 83 tahun.
Sepanjang kariernya yang gemilang, Poulidor beraksi dalam 14 TdF, mengakhiri perlumbaan selaku naib juara tiga kali, menduduki tempat ketiga sebanyak tiga kali dan lima kali muncul juara peringkat.
Pencabar utamanya, Jacques Anquetil berjaya memenangi Jelajah lima kali, tetapi peminat Perancis di tepi jalan lebih menyukai Poulidor yang sentiasa mendapat sokongan hebat.
Poulidor bekerjasama dengan penaja utama TdF, bank LCL yang menghadiahkan jersi kuning untuk dipakai olehnya dari zaman aktif hingga saat kematiannya. Dia berjaya mencuri hati ramai peminat kerana keperibadian serta sikap pemurah.
“Saya harap dia boleh berada di sini dan bergambar bersama, dia memakai baju penaja kuning dan saya baju kuning pendahulu. Sangat sedih dia tiada di sini,” kata Van der Poel.
Walaupun peminat Perancis terpaksa melihat wira mereka sendiri, Julian Alaphilippe kehilangan jersi kuning, namun mereka memberi sokongan kepada Van der Poel kerana semangat juangnya yang tinggi, selain faktor Poulidor. – AFP