PUTRAJAYA: Pembangunan vaksin Covid-19 buatan Malaysia kini di peringkat pengklonan yang merangkumi virus asal dan SARS-CoV-2 jenis messenger ribonucleic acid (mRNA) sejak kajian bermula November tahun lalu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, pembangunan itu melibatkan kerjasama antara Institut Kajian Perubatan (IMR), Kementerian Kesihatan dan Universiti Putra Malaysia (UPM) yang dibiayai Institut Kesihatan Negara (NIH) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
“Apabila proses terbabit berjaya, kajian pra klinikal akan dilakukan ke atas haiwan besar dan kecil sebelum kajian klinikal ke atas manusia.
“Pengklonan yang merangkumi virus asal dan SARS-CoV-2 jenis messenger ribonucleic acid (mRNA) dengan penjujukan genetik bagi menghasilkan imuniti terhadap virus Covid-19,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bersama Menteri Penyelaras PICK merangkap Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin secara maya hari ini.
Dalam perkembangan lain, Adham berkata, sebanyak 24 kluster Covid-19 menunjukkan kadar positif melebihi 80 peratus, sekali gus seperti Kluster Alam Jaya Dua, melibatkan 119 kes positif selepas 141 individu disaring.
“Apabila sesuatu kawasan mempunyai kes yang tinggi maka survelan genom dan mengesan varian baharu dilakukan bagi membolehkan tindakan susulan dibuat,” katanya.