PETALING JAYA: Akhbar Utusan Malaysia menjadi antara jenama media dipercayai (brand trust) berdasarkan satu kajian kelolaan Reuters Institute Digital News 2021 edisi ke-10.
Dalam laporan disiarkan kelmarin, Utusan Malaysia yang diterbitkan semula di bawah Media Mulia Sdn. Bhd. pada 20 Julai 2020 diberi skor 57 peratus.
Laporan tahunan itu bertujuan memahami kesan penyampaian berita dan keyakinan orang ramai menerusi penyelidikan dijalankan badan YouGov melibatkan 92,000 pelanggan berita online di 46 negara termasuk Malaysia.
Bagaimanapun jumlah responden yang terlibat dalam kajian itu di negara ini tidak dinyatakan.
Dalam laporan itu, media yang mengetuai kedudukan jenama dipercayai adalah Astro Awani, diikuti The Star, TV9 News, RTM, TV3 News selain akhbar tempatan dan wilayah.
Ia seterusnya dipelopori Berita Harian, Malaysiakini, Sinar Harian, Harian Metro, Utusan Malaysia, The Malaysia Insight, Yahoo! Berita, Free Malaysia Today dan Sin Chew Daily.
Laporan sama pada 2019 meletakkan Utusan Malaysia yang ketika itu di bawah syarikat Utusan Melayu Malaysia Berhad (UMMB) berada di kedudukan paling bawah antara 10 media dengan skor 5.32.
Dalam pada itu, Reuters Institute berpangkalan di Universiti Oxford menerusi mukadimah laporan itu mendapati peningkatan penggunaan berita arus perdana berlaku terutama di negara yang memiliki perkhidmatan media awam yang kukuh dan bebas.
Laporan itu memberitahu, hasil jualan dan pengiklanan di media cetak masih kekal merudum berikutan peralihan kepada langganan digital terutama di negara-negara seperti Jerman, Austria dan Switzerland yang mana jualan akhbar bercetak masih tinggi.
Bagaimanapun, hanya 17 peratus responden memberitahu mereka melanggan berita secara dalam talian, meningkat dua mata berbanding tahun lalu bagi 20 negara yang syarikat penerbitan media bergerak aktif membangunkan jualan platform digital.