PUTRAJAYA: UMNO hanya dilihat rakyat sebagai parti yang tamak kuasa dan tidak boleh bergantung harap jika bertindak keluar dari Kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr. Jeniri Amir berkata, tindakan sedemikian juga boleh mengundang kecaman dan dipandang negatif rakyat sebagai parti mementingkan kepentingan pemimpin tertentu yang sepatutnya membantu menyelamatkan negara ketika situasi pandemik Covid-19.
“Jangan salahkan rakyat kalau mereka terus melihat pemimpin politik kita sebagai orang tidak boleh bergantung harap. UMNO sepatutnya membantu menyelamatkan negara tetapi mereka dilihat cuba meruntuhkan negara.
“Jadi jangan burukkan lagi keadaan, ini masa untuk mereka memperagakan personaliti dan watak yang unggul, harus menjauhi kepentingan peribadi dan politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Ahli Parlimen PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, pembentukan jajaran baharu UMNO bersama Pakatan Harapan (PH) sama ada boleh berlaku dalam tempoh terdekat atau sebaliknya, bergantung kepada keputusan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, Ahmad Zahid boleh membuat keputusan menggunakan Majlis Tertinggi (MT) untuk meminta ahli-ahli Parlimen UMNO keluar dari kerajaan sekiranya tuntutan beliau kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar sidang Parlimen dipanggil dalam tempoh 14 hari tidak dipenuhi.
Dalam pada itu, Jeniri berkata, ini bukan masa untuk mana-mana parti politik mengocak keadaan politik negara lebih-lebih lagi kalau pemimpin politik itu mempunyai agenda dan kepentingan peribadi.
Kata beliau, apabila berlaku jajaran baharu, ia bermaksud akan berlaku krisis politik menyebabkan ketidakstabilan negara yang kemudiannya menyebabkan negara hilang arah dan tumpuan ketika semua pihak sepatutnya memberi segenap tumpuan 100 peratus untuk menangani dua krisis utama negara, kesihatan dan ekonomi.
Justeru katanya, ia tidak boleh ditambah satu lagi krisis iaitu politik yang bukan saja memudaratkan parti politik yang ada tetapi memburukkan ekonomi dan reputasi negara di mata luar sekali gus memberi kesan kepada ekonomi dan masyarakat antarabangsa menanggapi Malaysia sebagai sebuah negara yang tidak lagi selamat untuk melabur.
“Permainan poltik ketika ini ialah digerakkan oleh mereka yang mempunyai kepentingan peribadi untuk menyelamatkan dirinya bukan sangat untuk menyelamatkan kepentingan negara.
“Jadi sepatutnya kita selamatkan kepentingan negara, ketepikan kepentingan peribadi dan puak bagi meletakkan kita berada atas landasan betul dan mempercepatkan langkah vaksinasi, pastikan angka Covid-19 diturunkan dan dapat beri fokus inisiatif baharu kerajaan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) membabitkan wang begitu banyak,” katanya.
UMNO baru-baru ini memberikan tempoh 14 hari kepada kerajaan untuk memutuskan tarikh Parlimen bersidang, membayangkan tindakan keluar kerajaan jika ia tidak berlaku.
Ia dikukuhkan oleh ura-ura UMNO akan bersama PKR-DAP untuk menubuhkan kerajaan baru bernama Jajaran Harapan demi mengangkat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
MT UMNO dijangka mengadakan mesyuarat pada 7 Julai ini susulan keputusan kerajaan untuk mengadakan sidang Parlimen seawal September akan datang.