KUALA LUMPUR: Pelakon hebat, Datin Seri Umie Aida, sedia menghulurkan bantuan kepada mana-mana individu yang terjejas ekonomi akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh yang bermula semalam.
Situasi getir yang menghimpit negara berikutan penularan Covid-19 membuatkan Umie atau nama lengkapnya Umi Khalsum Rahmad Ali, 47, terpanggil untuk melakukan sumbangan itu.
“Jika ada di antara kawan-kawan yang tak ada pendapatan dan kehabisan stok makanan di rumah kerana total lockdown ini untuk tampung keluarga, janganlah biarkan anak-anak anda tidur dalam keadaan berlapar.
“Insya-Allah ada bahagian anda dalam rezeki saya walaupun hanya sekadar satu hidangan makan. Sama-sama kita bersatu membantu kepada yang memerlukan bantuan di saat ini. Kepada yang nak ikut hulurkan bantuan boleh WhatsApp Amad +60 14-669 1402,” katanya.
Dengan perkongsian di Twitter dan Instagram, Umie Aida yang juga adik kepada aktres dan pengarah tersohor Erma Fatima, dihujani komen positif warganet dan rakan artis di atas inisiatif itu.