Ular 100kg, enam meter panjang tak sempat baham babi ditangkap - Utusan Malaysia

Ular 100kg, enam meter panjang tak sempat baham babi ditangkap

ANGGOTA APM Lipis menangkap ular sawa batik seberat 100 kilogram dan sepanjang enam meter di sebuah bangsal di Taman Sri Tempoyang, Kuala Lipis di Lipis, Pahang. - FOTO IHSAN APM LIPIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Seekor ular sawa batik seberat 100 kilogram ditangkap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Lipis di Taman Sri Tempoyang, di sini.

Pegawai APM Daerah, Mohd. Azhar Yusof berkata, anggotanya menerima panggilan kira-kira pukul 6.15 pagi ini daripada seorang penduduk memaklumkan terdapat bunyi bising di bangsal berhampiran rumahnya.

“Kami dimaklumkan, pemanggil yang dikenali sebagai Hafiz itu menyedari terdapat seekor ular sawa ketika hendak memasuki kenderaan di kawasan berhampiran bangsal.

“Sebelum ular sawa itu ditangkap, haiwan itu sempat membelit seekor babi namun dalam beberapa minit bergelut, haiwan itu itu dapat melepaskan diri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Azhar berkata, sebaik sahaja menerima laporan itu, empat anggota bergegas ke lokasi untuk menangkap reptilia berkenaan.

“Kita terpaksa bawa kelengkapan khas untuk menangkap reptilia ini kerana saiznya yang agak berbeza dengan saiz ular yang biasa kami tangkap.

“Anggota yang terlibat mengambil masa selama lebih kurang 10 minit untuk menangkap ular sawa seberat 100 kilogram dan panjangnya dianggarkan enam meter menggunakan penjerut ular.

“Walaupun ular itu lapar namun tiada sebarang pergelutan dan kesukaran ketika tangkapan dibuat,” katanya.

Sementara itu katanya, reptilia yang dimasukkan ke dalam sangkar itu dihantar dan dilepaskan di kawasan yang tidak berpenghuni.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya