COPENHAGEN: Luis Enrique sudah menyerahkan semua bahan bukti berkaitan ugutan bunuh dan kata-kata cacian yang diterima penyerang Sepanyol, Alvaro Morata kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Pengendali skuad La Roja itu menegaskan, dia memandang serius serangan yang diterima oleh pemain dalam media sosial dan mahu polis mengambil tindakan sewajarnya.
“Kes ini sangat serius, saya serahkan kepada pihak polis. Menghina dan membuat ancaman bunuh terhadap sesiapa pun, termasuk kepada keluarga atau anak-anak adalah satu kesalahan.
“Perkara ini diserahkan pihak berkuasa dan ia perlu ditangani dengan tegas,” kata Enrique dalam sidang akhbar.
Dua hari lalu, Morata mendedahkan, isteri dan anak-anaknya diganggu sepanjang Euro 2020 disebabkan prestasinya yang hambar bersama skuad Sepanyol. – AGENSI