PETALING JAYA: Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah merupakan seorang tokoh wanita negara yang melalui pelbagai pengalaman dalam pembangunan Malaysia.
Dalam catatan di laman Facebook, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengenang semula pengalaman arwah ibunya yang telah meninggal dunia pada usia 87 tahun, Disember lalu.
“Fikir balik, banyak yang telah dilalui oleh bonda. Dari zaman penjajahan dan kezaliman sebelum kemerdekaan sehingga hari Kemerdekaan Tanah Melayu dan kemudiannya pembentukan Malaysia.
“Diikuti darurat dan pembangunan luar bandar bersama ayahanda. Bonda lihat dan lalui segalanya bersama ayahanda. Susah dan senang bersama Malaysia dan rakyat Malaysia,” katanya dalam catatan itu hari ini.
Tun Rahah merupakan isteri kepada Perdana Menteri ketiga, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.
Tun Rahah meninggal dunia pada 18 Disember 2020 di Pusat Perubatan Prince Court di Kuala Lumpur dan disemadikan di Makam Pahlawan.
Najib berkongsi catatan itu kerana tarikh hari ini, 11 Jun merupakan ulang tahun kelahiran bonda tersayangnya itu.
“11 Jun ini tarikh hari lahir bonda. Arwah bonda lahir pada tahun 1933. Jika bonda masih ada, hari ini berumur 88 tahun.
“Kebiasaannya kami semua akan berkumpul bersama di rumah bonda, sambut hari kelahirannya. Sampai kami besar pun, bonda masih berpesan kepada kami untuk jaga diri baik-baik, jaga pemakanan dan jaga kesihatan,” katanya.