BESUT: Kegiatan tujuh lelaki bermain judi daun terup dalam kawasan semak di Kampung Kubang Ikan di Kampung Raja di sini sejak dua minggu lalu terbongkar apabila mereka ditahan semalam.
Dalam serbuan kira-kira pukul 4 petang itu, kesemua yang ditahan berusia antara 44 hingga 61 tahun.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya turut merampas 52 keping daun terup di samping wang kertas berjumlah RM1,739.
“Berdasarkan siasatan, mereka mengaku bermain judi daun terup dalam semak berkenaan sejak dua minggu lepas.
“Ketujuh-tujuh lelaki berkenaan turut dikenakan kompaun sebanyak RM1,500 setiap seorang kerana melanggar syarat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Abdul Rozak, kesemua yang ditahan dibawa ke Mahkamah Besut untuk permohonan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.