Tujuh ekor lembu di Felda Perasu dibaham 'pak belang' - Utusan Malaysia

Tujuh ekor lembu di Felda Perasu dibaham ‘pak belang’

IBRAHIM Derani (kanan) melihat lembu miliknya yang mati akibat dibaham harimau di ladang kelapa sawit di Felda Perasu, Gua Musang, Kelantan. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Penduduk di Felda Perasu di sini resah diancam harimau yang membaham tujuh ekor lembu ternakan mereka dalam tempoh sebulan sehingga melibatkan kerugian lebih RM25,000.

Dalam serangan terbaharu pada pukul 7 pagi semalam, seekor lagi lembu milik penternak mati dibaham pak belang selepas dilepaskan dalam kawasan ladang kelapa sawit.

Seorang penternak, Ibrahim Derani, 64, berkata, dalam kejadian itu, anak lelakinya yang bertugas menghalau 30 ekor lembu dalam ladang terserempak dengan harimau berkenaan.

Katanya, ketika itu anaknya melihat harimau berkenaan sedang menyeret seekor anak lembu dalam keadaan berdarah.

“Anak saya terus lari menyelamatkan diri dan masih ketakutan untuk memasuki ladang sawit kerana bimbang harimau berkenaan masih berada dalam kawasan ladang.

“Boleh dikatakan hampir setiap tahun lembu ternakan kami menjadi mangsa harimau dan dalam tempoh sebulan ini adalah kejadian paling teruk apabila sudah tujuh ekor lembu mati,” katanya ketika ditemui di ladang sawit Felda Perasu di sini hari ini.

Seorang lagi penternak lembu, Deraman Omar, 75, berkata, ancaman harimau yang berkeliaran dalam ladang sawit amat membimbangkan mereka sehingga tidak lena tidur memikirkannya.

Katanya, kebimbangan itu bukan sekadar kehilangan haiwan ternakan malah kemungkinan mereka sendiri boleh menjadi mangsa pak belang terutama ketika menguruskan ternakan.

“Lembu-lembu ini bukan semua dimakan oleh pak belang. Ada yang diseret pergi, ada dimakan sebahagian anggota sahaja dan ada ditinggalkan begitu sahaja selepas mati.

“Saya harap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengambil tindakan segera untuk menangkap haiwan itu,” katanya.

Tambahnya sebelum ini, penternak di kawasan itu pernah membuat aduan kepada Perhilitan, namun setakat ini haiwan buas terbabit belum berjaya ditangkap.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya