PONTIVY, PERANCIS: Kejohanan Tour de France peringkat ketiga semalam sekali lagi dibayangi insiden buruk selepas berlaku kemalangan 30 meter sebelum garisan penamat membabitkan pelumba dari pasukan Lotto Soudal, Caleb Ewan dari Australia dan pelumba Bora Hansgrohe, Peter Sagan dari Slovakia.
Kemalangan itu berlaku di laluan lurus apabila Ewan terlanggar tayar belakang pelumba Tim Merlier dari pasukan Alpecin-Felix dengan kelajuan 70 kilometer sejam yang turut mengakibatkan pakar pecut Slovakia, Peter Sagan jatuh bersamanya sebelum mereka menggelungsur di atas jalan tar sejauh 10 meter.
Terdahulu, pesaing utama pakar pecut Ewan dari FDJ, Arnaud Demare, juga terjatuh di luar Pontivy dan menyebabkan pengurusnya, Marc Madiot sangat marah.
Sebelum ini insiden buruk berlaku pada peringkat pertama apabila pelumba pasukan Jumbo-Visma, Tony Martin dari Jerman melanggar sepanduk yang dipegang seorang peminat yang berdiri di tepi trek perlumbaan. Kemalangan itu turut melibatkan rakan-rakan sepasukan dan beberapa pelumba lain.
Dalam kemalangan semalam, Ewan dikejarkan ke hospital, manakala pelumba Australia kemudiannya menarik diri dari kejohanan dengan tulang selangka yang patah. Sagan juga mengalami luka dan lebam tetapi dengan pantas kembali ke trek.
Rakan sepasukan Merlier, Mathieu van der Poel terus mengetuai sebagai pendahulu keseluruhan dalam adegan penuh dramatik, di samping Geraint Thomas dari pasukan Ineos Grenadiers yang mengalami kecederaan bahu manakala Naib Juara 2020, Primoz Roglic kehilangan masa serta melintasi garisan dengan kitnya yang berantakan.
Pemenang jersi kuning, Van der Poel menyifatkan perkara itu menyedihkan berbanding kegembiraan yang dialaminya apabila memenangi peringkat kedua hari Ahad lalu.
“Ia berlaku dengan pantas, semua pelumba berlumba-berlumba merebut tempat, sukar untuk mengatakan apa-apa sekarang,” kata Van Der Poe.
Thomas yang juga Juara 2018 hilang tumpuan sehingga terjatuh dan terkehel bahu sebelum kembali semula dengan bantuan tiga rakan sepasukannya.
Keadaan Thomas menggigilkan kakinya ketika menerima rawatan daripada pasukan perubatan akan kekal sebagai kenangan.
“Beri dia penghormatan, dia dalam kesakitan tetapi berjaya,” kata pengarah sukan Ineos Gabriel Rasch, yang mendedahkan Thomas juga akan menjalani pemeriksaan. – AFP