LANGKAWI: Penduduk tertua di pulau ini, Sepora Amin, 106, menerima suntikan vaksin pada Program Outreach Imunisasi Covid-19 di Dewan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Pulau Tuba di sini, semalam.
Sepora atau lebih dikenali sebagai Tok Pora memberitahu,dia memang takut untuk disuntik vaksin, namun berubah fikiran selepas dipujuk oleh anak dan cucunya.
“Alhamdulillah, dah selesai divaksin, tak sakit pun, tak rasa pun disuntik.
““Mereka yang belum ambil vaksin, pergilah ambil segera, tak payah takut, tak sakit pun,” katanya ketika ditemui selepas menerima suntikan vaksin pada program tersebut.
Turut hadir pada program itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri {ADUN) Kuah, Firdaus Ahmad dan Pegawai Daerah Langkawi, Saiful Anwar Azmi.
Pada tahun 2019, pernah tular Tok Pora yang berusia 104 tahun ketika itu masih kuat untuk melakukan kerja sebagai nelayan.
Walaupun usianya telah mencecah lebih satu abad tetapi dia tidak mempunyai penyakit kronik.
Selain itu, Sepora berkata, dia sekarang tidak bertenaga dan kuat untuk berjalan dalam jarak yang agak jauh.
“Program ini memberi kemudahan kepada saya dan penduduk di Pulau Tuba ini menerima suntikan vaksin tanpa perlu ke Langkawi,” katanya.- UTUSAN ONLINE