PETALING JAYA: Selepas 19 tahun memimpin Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail akhirnya meletak jawatan sebagai presiden di tengah-tengah kontroversi yang melanda dirinya dengan badan sepak takraw Asia, Astaf.
Ahmad, 66, yang lebih dikenali sebagai Tok Mat mengumumkan pengundurannya dalam program yang disiarkan Astro Arena, PM bersama AM. Keputusan itu berkuat kuasa 12 tengah malam tadi.
Beliau yang memegang tampuk kepimpinan PSM sejak 27 Disember 2002 berkata, keputusan tersebut dibuat atas rasa tanggungjawab terhadap konflik melanda badan induk sukan berkenaan sejak akhir-akhir ini.
Beliau juga meminta agar kesemua 11 ahli gabungan yang sudah keluar untuk kembali bagi membangunkan semula PSM bersama lima lagi negeri yang masih bersama badan itu.
“Kembalilah kepada PSM, carilah kata sepakat untuk bangunkan semula sukan ini.
“Saya berjanji akan selesaikan semua masalah berkaitan tetapi bantulah selamatkan PSM. Tidak kisah saya menjadi mangsa cacian atau kejian tetapi saya bertanggungjawab untuk selamatkan PSM,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Ahmad enggan mengulas mengenai pertelingkahannya dengan Presiden Astaf, Datuk Abdul Halim Kader sebaliknya akan tetap membawa kes itu ke mahkamah bagi mendapatkan pengadilan.
Terdahulu Tok Mat dikenakan penggantungan 15 tahun kerana meminta campur tangan Majlis Olimpik Asia (OCA) dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mengenai pemilihan Astaf sebelum dikenakan tambahan penggantungan dua tahun lagi kerana gagal melunaskan kos perbicaraan ke atasnya yang berjumlah AS$25,000 (RM103,625).
PSM pula didapati bersalah kerana melanggar perjanjian bertulis yang diberikan kepada Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) dan Astaf pada 14 Mac 2008, iaitu: ‘untuk menyokong Istaf dan Astaf dalam mewujudkan dan mengekalkan pentadbiran persekutuan itu yang cekap.’
Atas kesalahan itu, PSM digugurkan daripada menjadi ahli gabungan Astaf sekali gus tidak boleh menyertai sebarang program di bawah badan induk Asia itu selain tidak akan diberikan sebarang pengiktirafan bagi sebarang kejohanan.