JOHOR BAHRU: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim meminta Southern Volunteers digerakkan bagi membantu program vaksinasi di semua pusat pemberian vaksin (PPV) yang dibuka seluruh Johor.
Tunku Ismail berharap golongan belia dapat membantu dari segi pendaftaran rakyat Johor untuk mendapatkan vaksin berkenaan.
Titah baginda, golongan belia perlu bersama-sama memainkan peranan dalam usaha membendung penularan pandemik Covid-19 khususnya di negeri ini.
“Salah satu cara adalah menjadi sukarelawan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan membantu menyebarkan berita yang sah mengenai vaksin.
“Ini juga boleh dilakukan dengan menggalakkan ahli keluarga serta rakan-rakan mereka supaya mendaftar untuk vaksinasi,” titah Tunku Mahkota Johor dalam kenyataan di sini hari ini.
Tunku Ismail bertitah, baginda maklum keresahan rakyat Johor berkaitan program vaksinasi Covid-19, lebih-lebih lagi dengan peningkatan mendadak jumlah kes positif harian serta kematian sejak akhir-akhir ini.
“Memandangkan situasi wabak Covid-19 yang sangat serius di Johor, Tuanku Sultan Johor telah menitahkan semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri bermesyuarat dan bekerjasama menolong rakyat memerangi wabak Covid-19.
“Saya juga berharap sukarelawan Southern Volunteers dapat menggalakkan belia untuk memainkan peranan lebih besar dalam membendung penularan wabak ini.
“Semoga peranan Southern Volunteers dapat dioptimumkan bagi membantu menjayakan program vaksinasi serta meningkatkan lagi keberkesanannya,” titah Tunku Ismail.