TLDM patahkan cubaan aktiviti penyeludupan di perairan Johor

Tekong warga Indonesia gagal seludup minyak, ayam selasih, burung merpati

TEKONG warga Indonesia yang ditahan ketika cuba menyeludup barangan terlarang di perairan Johor berhampiran Teluk Ramunia, Mersing di Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup beberapa barangan termasuk minyak dengan tertangkapnya seorang tekong dalam Operasi Benteng Laut di perairan Johor, awal pagi ini. 

Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat Lumut Perak dalam kenyataan dikeluarkan berkata, tekong dipercayai warga Indonesia berjaya ditahan bot FCB 1326 yang merupakan aset terbaharu TLDM dioperasikan di kawasan Op Benteng.

Kata kenyataan itu, antara barangan dirampas dalam operasi terbabit adalah 20 liter minyak, satu kotak berisi ayam selasih, satu kotak berisi burung merpati dan bot yang dianggarkan bernilai RM7,000.

“Sekitar pukul 3.15 pagi bot pemintas TLDM FCB 1326 dan RHIB Lepau mengesan sebuah bot mencurigakan menuju ke arah Pulau Che Kamat dari perairan negara jiran. 

“Tindakan pantas kedua-dua bot TLDM telah berjaya memintas bot yang disyaki berhampiran Pulau Che Kamat di perairan Teluk Ramunia.

“Hasil pemeriksaan mendapati tekong berusia 30 tahun tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah serta membawa barang yang disyaki seludup,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

Tambah kenyataan itu, bot pemintas TLDM FCB 1326 kemudian mengiringi bot yang ditahan ke Jeti Maritim Tanjung Pengelih bersama RHIB Lepau. 

Sementara tekong berserta barang rampasan telah diserahkan kepada Tim Op Merpati 1 Tentera Darat untuk dilaksanakan siasatan dan saringan Covid-19. 

“Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang menggugat keselamatan dan ketidakpatuhan undang-undang negara. TLDM juga akan sentiasa memastikan perairan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara dengan memperkasakan kesiagaan aset-aset Op Benteng Laut. 

“Kerjasama bersepadu bersama agensi-agensi keselamatan yang lain akan dipertingkat dan diperkukuhkan dalam pelaksanaan Op Benteng,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya