Tiga anggota polis ditahan rasuah - Utusan Malaysia

Tiga anggota polis ditahan rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seorang pegawai polis berpangkat inspektor dan dua anggotanya ditahan berhubung kes rasuah di sini, hari ini. 

Menurut sumber, tiga lelaki terbabit ditahan bagi membantu siasatan atas dakwaan meminta rasuah berjumlah RM15,000 daripada seorang lelaki.

“Rasuah itu adalah sebagai balasan bagi melepaskan lelaki itu daripada kesalahan berkaitan pemilikan dadah,” katanya di sini, hari ini.

Katanya, pegawai polis berusia 33 tahun itu dan dua lagi anggota polis berpangkat lans koperal masing-masing berusia 24 dan 30 tahun ditahan di Bandar Baharu dekat sini antara pukul 12.10 tengah malam hingga 2.30 pagi.

Menurutnya, semua suspek ditahan kerana didakwa telah meminta suapan wang sebanyak RM15,000 sebelum menerima RM2,000 daripada lelaki terbabit

“Ketiga-tiga suspek sudah dibawa ke Mahkamah Majistret Sungai Petani hari ini dan perintah reman telah dikeluarkan selama lima hari bermula hari ini,” katanya.

Sementara itu, dalam tangkapan berasingan, seorang guru dari sebuah sekolah menengah di negeri ini ditahan atas kesalahan menggunakan kedudukannya sebagai Ketua Panitia Mata Pelajaran Vokasional (MPV) dengan memilih syarikat adiknya membekal alat ganti automotif yang bernilai RM16,775.40 di sekolah tersebut.

Menurut sumber, guru lelaki berusia 43 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Cawangan Sungai Petani pada pukul 11.40 pagi hari ini.

“Bagaimanapun suspek telah dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM10,000,” jelasnya.

Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap ketika dihubungi mengesahkan mengenai kedua-dua kes tersebut.

“Kes pertama disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan kes kedua di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya